Kes murid obes pada tahap membimbangkan.
BERDASARKAN kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap murid sekolah rendah di negara ini pada 2008, 25 peratus didapati mengalami masalah obesiti manakala 30 peratus tidak mengambil sarapan pagi dua hingga tiga kali seminggu.
Sebanyak 60 peratus di kalangan kanak-kanak prasekolah pula mengalami masalah berat badan berlebihan. Keadaan ini akan lebih membimbangkan jika tiada tindakan, terutama oleh ibu bapa.
Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada 2015, kira-kira 2.3 bilion penduduk di seluruh dunia akan mempunyai berat badan berlebihan, manakala 700 juta daripadanya mengalami masalah kegemukan keterlaluan atau obesiti.
Yang membimbangkan, masalah obesiti di kalangan kanak-kanak semakin menular tahun demi tahun di negara membangun. Di Malaysia, sehingga 2010, peningkatan kes obesiti yang direkodkan dalam kalangan keseluruhan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun adalah 10 peratus.
Ia menjadi lebih serius apabila meningkatnya penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kanser dan sakit jantung.
Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr Tee E Siong, berkata masalah itu perlu dipantau segera supaya tidak menjadi lebih kritikal.
“Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak sememangnya membimbangkan. Apatah lagi ramai ibu bapa masa kini terlalu sibuk hingga mengabaikan sarapan pagi anak.
“Sebenarnya, sarapan pagi adalah permulaan bagus untuk minda mereka. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengambil sarapan pagi lebih fokus dan berdaya saing dalam kelas.
“Malangnya, ibu masa kini sibuk dan menyediakan sarapan ala kadar hingga membuatkan anak bosan dan tidak menjamah sarapan,” katanya yang ditemui ketika melancarkan Kempen Kesedaran Makanan Sihat anjuran Lady’s Choice di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, ibu perlu lebih kreatif dalam menghasilkan makanan anak mereka, misalnya mempelbagaikan bentuk potongan sayuran supaya anak lebih tertarik dan menunjukkan minta untuk makan.
“Makanan sihat tidak semestinya tidak sedap. Paling penting, ibu bapa jangan membiarkan anak berterusan makan makanan tidak berkhasiat dan menyumbang ke arah obesiti serta menimbulkan pelbagai penyakit.
“Ibu bapa juga digalakkan membawa anak mereka beriadah di samping melakukan aktiviti fizikal yang mengeluarkan peluh. Jangan biarkan mereka hanya duduk dan menghabiskan masa dengan permainan alam maya,” katanya.
Naib Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof Dr Norimah A Karim, pula berkata ibu bapa zaman kini terlalu memanjakan anak.
“Kini, tiba masanya ibu bapa memainkan peranan dalam mendisiplinkan anak. Jangan terlalu ikut kehendak dan buat peraturan dalam rumah, apa yang boleh dan tidak boleh.
“Sebagai contoh, banyakkan beli makanan berkhasiat seperti buah-buahan, susu dan jus. Jangan galakkan anak makan makanan tinggi kolesterol seperti nasi lemak, seelok-eloknya gantikan dengan bihun dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, jika pergi ke pasar raya, pastikan anak tahu kenapa perlu beli makanan berkhasiat dan sihat. Didik mereka mengenai kebaikan dan keburukan makanan yang dibeli.
“Kalau boleh, jangan terlalu mengikut kehendak anak dan biarkan mereka letak apa saja dalam troli. Jika tiada halangan daripada ibu bapa, bagaimana mereka mahu mendisiplinkan diri terhadap makanan?
“Semuanya bermula daripada rumah. Ibu bapa yang perlu memulakan dan mengubah tabiat membeli makanan ringan kepada yang berkhasiat. Jika tidak boleh lakukan serta-merta, tukar secara perlahan-lahan.
“Seelok-eloknya seawal usia tiga tahun, ibu bapa perlu mengawal corak pemakanan anak supaya apabila dewasa mereka terdidik dan tidak mengamalkan pola pemakanan tidak sihat. Jangan apabila sudah dewasa baru lakukan kerana ia sudah terlambat dan susah,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Kanan Jenama Unilever (M) Holdings Sdn Bhd, Lenny Chuah, berkata program pemakanan sihat diadakan sebagai alternatif memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan sarapan pagi kepada anak.
“Justeru itu, kami mewujudkan kempen pemakanan sihat bertujuan mendidik kanak-kanak supaya tahu memilih makanan sihat yang diperlukan badan, baik untuk kesihatan dan menyediakan mereka dengan segala zat serta kebaikan.
“Kempen ini juga bertujuan membawa kesedaran serta mengubah minda pelajar dan masyarakat umum mengenai kaedah pemakanan serta amalan gaya hidup sihat bagi menjana masa depan sihat dan cemerlang,” katanya.
Lenny berkata, lebih merisaukan, kajian menunjukkan kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan pagi lebih cenderung mengalami masalah obesiti, sedangkan sarapan pagi penting untuk tumbesaran mereka.
“Kami percaya permulaan awal mengenai kempen makanan sihat adalah sejak usia kanak-kanak. Selain itu, kanak-kanak perlu diajar mengenai maksud obesiti, diet seimbang, makanan yang perlu dan tidak perlu diambil, kepentingan tiga kali makan sehari, senaman dan kebaikan makanan berkhasiat.
“Matlamat kami adalah menyampaikan dan memberikan pendidikan mengenai kaedah pemakanan serta amalan gaya hidup sihat kepada sekurang-kurangnya 46 sekolah rendah di kawasan bandar serta luar bandar,” katanya.
Panduan pemakanan seimbang
1. Makan nasi, produk bijirin dan ubi, terutama bijian penuh yang mencukupi.
- Ini termasuk nasi, produk bijirin seperti mi, roti dan gandum atau ubi seperti kentang dan keledek pada setiap hidangan.
- Pilih produk bijirin seperti roti, biskut yang tinggi serat dan rendah lemak, gula dan garam.
- Bijian penuh mengekalkan semua bahagian bijirin asli iaitu bran dan germ. ia mengandungi pelbagai vitamin, mineral, fitokimia (bahan kimia tumbuhan) dan serat berbanding bijirin terproses.
2. Makan banyak buah- buahan dan sayur-sayuran setiap hari.
- Makan sekurang-kurangnya tiga hidangan sayur- sayuran dan dua hidangan buah-buahan setiap hari.
- Amalkan kepelbagaian dengan makan buah dan sayuran berlainan setiap hari.
- Ambil sayuran berdaun hijau gelap dengan batang boleh dimakan seperti sawi atau kailan setiap hari atau sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu.
- Ambil sayur-sayuran buah dan akar seperti tomato, peria, kacang bendi, lobak merah dan sayur-sayuran tidak berdaun seperti bunga kubis, brokoli beberapa kali seminggu.
- Fitokimia dalam buah dan sayuran memberikan warna hijau, merah, oren, kuning dan ungu yang menjadikannya menarik. Kebanyakan fitokimia bertindak sebagai antioksidan dan melindungi sel tubuh.
3. Makan ikan, daging, ayam, itik, telur, kacang dan bijian secara sederhana.
- Ambil daging, ayam dan itik secara sederhana.
- Ambil telur dalam jumlah sederhana sehingga purata sebiji sehari (seluruh atau dalam hidangan).
- Ambil produk kekacang setiap hari seperti kacang pis atau dal ke dalam sup atau sediakan produk kekacang seperti tempe dan tauhu.
- Ambil kacang sekurang-kurangnya sekali seminggu sebagai snek atau pengganti daging, ayam dan itik dalam masakan.
- Ikan membekal protein, vitamin B dan iodin. Ikan bersaiz kecil dengan tulang boleh dimakan membekalkan kalsium. Kebiasaannya ia lebih rendah kandungan kolesterol berbanding daging, ayam dan itik. Sesetengah ikan tiada kandungan asid lemak omega 3 yang dikaitkan dengan penyakit darah tinggi dan jantung.
4. Ambil jumlah susu dan produk tenusu yang mencukupi.
- Susu adalah makanan berkhasiat mengandungi pelbagai nutrien penting. Individu daripada semua peringkat usia harus mengambil susu dan produk tenusu setiap hari.
- Tambah susu dalam makanan dan minuman.
- Pilih susu rendah lemak jika anda perlu mengurangkan berat badan berlebihan.
- Guna susu tepung atau cair, bukannya pekat manis dan susu pekat sejat manis.
- Jika pengambilan susu menyebabkan anda rasa kembung, cirit-birit atau muntah, anda mungkin tidak boleh mengambil laktosa. Namun anda masih boleh menikmati manfaat dengan memilih produk tenusu bebas seperti dadih dan keju.
5. Makan secara pintar.
- Mengamalkan diet seimbang untuk memperoleh nutrien dalam kombinasi sepatutnya.
- Memakan pelbagai jenis makanan dan pastikan memilih makanan sihat.
- Mengambil makanan secara sederhana bermakna mengambil jumlah makanan sesuai untuk mengekalkan berat badan sihat dan mengoptimumkan proses metabolisme badan.
- Mengambil makanan mengikut waktu makanan.
Amalan makan bersama baik untuk minda, emosi anak
Nikmati masa berkualiti dengan anak — Waktu makan adalah waktu tenang yang menyeronokkan. Ketika inilah anda boleh berinteraksi dengan anak. Antara topik yang boleh anda tanya ialah peristiwa menarik di sekolah pada hari itu, perkara yang menggembirakan atau menyedihkan anak atau mengenai kawan rapatnya.
Kajian menunjukkan, lebih kerap keluarga makan bersama, lebih rendah kemungkinan anak terbabit dalam gejala sosial seperti merokok, minum minuman keras, mengambil dadah, berasa murung, menjauhi seks sehingga tiba waktu sesuai dan mengalami masalah pemakanan.
Seiring dengan itu juga, emosi mereka bertambah baik, menunjukkan prestasi baik di sekolah, belajar perkataan baru dan tahu mengenai adab di meja makan.
Nikmati masa berkualiti dengan anak — Waktu makan adalah waktu tenang yang menyeronokkan. Ketika inilah anda boleh berinteraksi dengan anak. Antara topik yang boleh anda tanya ialah peristiwa menarik di sekolah pada hari itu, perkara yang menggembirakan atau menyedihkan anak atau mengenai kawan rapatnya.
Kajian menunjukkan, lebih kerap keluarga makan bersama, lebih rendah kemungkinan anak terbabit dalam gejala sosial seperti merokok, minum minuman keras, mengambil dadah, berasa murung, menjauhi seks sehingga tiba waktu sesuai dan mengalami masalah pemakanan.
Seiring dengan itu juga, emosi mereka bertambah baik, menunjukkan prestasi baik di sekolah, belajar perkataan baru dan tahu mengenai adab di meja makan.
Sumber diambil terus di sini.
0 comments:
Post a Comment